“Ini Bukan ‘Biashe Biashe’…”, Hati-hati Bila Berhutang

7 Petanda Kewangan Keluarga Bermasalah

#1 Duit Hilang Arah

Pasangan suami isteri tidak dapat mengenal pasti ke mana arah duit dibelanjakan dan sering merungut duit tidak cukup atau terlebih belanja adalah tanda awal kedudukan kewangan keluarga mula bermasalah.

Ada mereka yang di awal bulan lagi duit gaji yang diperolehi sudah berada pada tahap kritikal. Lebih teruk lagi mereka sendiri tak sedar dan tak dapat mengenal pasti ke mana duit dibelanjakan setiap bulan. Tambah-tambah lagi situasi ini berulang selama bertahun-tahun dan seringkali berlaku apabila pasangan suami isteri tidak bersepakat dalam menguruskan kewangan keluarga.

#2 Bil Mula Tertunggak

Bil-bil seperti air, elektrik, telefon dan lain lain bayaran bulanan kereta, pinjaman perumahan, atau sewa bulanan rumah mula tertunggak beberapa bulan. Ada pasangan yang terpaksa menghadapi rumah mereka dilelong kerana bayaran bulanan rumah di bank tertunggak lama. Hal ni sangat serius dan perlu diselesaikan dengan segera.

#3 Hutang Tak Terkira

Ada juga pasangan yang sanggup berhutang semata-mata mahu kelihatan ‘gah’ atau bergaya daripada jiran-jiran, adik-beradik, atau rakan-rakan lain. Terikut dengan lifestyle “golongan bukan biashe biashe” di media sosial. Bayangkan hutang sampai tidak terkira. Tak salah untuk berhutang. Cuma pastikan hutang yang bakal dibuat merupakan hutang yang betul-betul diguna sebagai keperluan.

#4 Buat Hutang, Tutup Hutang

Lebih parah lagi ada pasangan yang sanggup membuat pinjaman peribadi untuk menutup hutang kredit kad. Ada yang membeli kabinet dapur untuk kelihatan ‘bergaya’, ada yang menggunakan strategi pembiayaan semula refinance untuk membeli motosikal berkuasa tinggi atau dijadikan duit muka untuk membeli kereta model terkini.

#5 Kredit Kad Pendapatan Tambahan

Secara umumnya kredit kad digunakan untuk mengurangkan risiko bagi membawa duit cash di tangan. Terdapat juga mereka yang mengggunakan kad kredit untuk menikmati ‘diskaun’ atau ‘nilai mata’ ketika berbelanja. Lebih parah lagi apabila pasangan suami isteri menjadikan kredit kad sebagai punca pendapatan tambahan buat menampung perbelanjaan seisi keluarga. Ada juga yang disytihar muflis disebabkan tidak berupaya melangsaikan hutang kad kredit yang dimiliki. Cukuplah hanya memiliki satu kredit kad dalam sesebuah keluarga. Cukup sekadar keperluan bukan enjoy dan berhutang,

#6 Duit Belanja Dari Simpanan

Terdapat situasi keluarga apabila duit belanja harian digunakan dan berpunca dari duit simpanan. Duit simpanan sepatutnya hanya digunakan apabila benar-benar perlu digunakan. Apabila simpanan mulai terusik untuk dijadikan duit belanja, duit simpanan mula meruncing. Jika ini tidak diatasi dengan segera, segala simpanan yang dijadikan wang kecemasan turut terjejas.

#7 Takut Dan Tak Tenteram

Dan yang last sekali, sering juga berlaku kepada pasangan suami isteri yang hidup dalam ketakutan. Ada pihak luar yang datang ke rumah untuk ‘menarik kereta’ yang dimiliki kerana hutang bayaran bulanan tertunggak. Terdapat kes bagi pasangan yang menerima ancaman daripada lintah darat. Jika situasi ini berlaku, bukan hanya sekadar masalah kewangan, malah nyawa dan kedudukan keluarga anda berada di tahap kritikal.

Tinggalkan komen